Assalamualaikum
&
Greetings...
"Rama..." Puan Zue menoleh seraya memberhentikan pergerakan mesin jahitnya dan melarikan fokus pada anaknya. Rama berdiam seketika, kemudian menoleh menanti usul kata dari mulut Puan Zue. "Jangan pulang lewat ya! Malam ini Aqira nak datang..." tambah Puan Zue apabila melihat anaknya berdiam sahaja. Rama masih tidak membalas dengan kata, dia hanya mengangguk tanda akur. Rama meneruskan langkah meninggalkan perkarangan rumah yang dipenuhi pepohon renek menghijau. Bayangnya hilang di selekoh, Puan Zue mengeluh kecil dan mengalih ekor pandangannya semula pada kain yang dijahitnya sejak awal pagi tadi. Entah kenapa Puan Zue boleh rasa murung dan kusamnya dunia Rama semenjak beberapa hari lalu. Rama lebih banyak berdiam. Rutin hariannya juga lebih kurang sama setiap hari, sudah hampir seminggu Puan Zue tidak dijamah dengan senyuman manis anak lelakinya itu. Rasa ganjil. Aneh. Rama yang dikenali sejak kecil dahulu bukan begini.
Rama yang hanya menapak dari rumah ke bangunan Wisma Haji Ali berhenti di deretan kedai makan. Seketul karipap dan seketul keria di letak di atas pinggan kecil yang diambil tadi. Kemudian dia duduk menghadap jalan besar. Fikirannya mengawang. Segelas air masak disua ke atas meja Rama, rama mengangguk sambil menghulur not lima ringgit. "Okay, satu ringgit lima pulosen. Sabar ya incik" pelayan itu meinggalkan Rama seketika dan kembali bersama wang baki dan diserahkan kepada Rama. Jam di dinding berdetik, masih awal untuk Rama teruskan perjalanan ke kompleks membeli-belah bersebelahan dengan Wisma Haji Ali tersebut. Rama terus mengawangkan fikiran.
...
Macam biasa Rama menyusun kotak-kotak bertingkat mengikut produk yang telah di atur. Suasana hingar dek bunyi deruman enjin forklift yang kian usang dimamah usia. Tapi fikiran Rama masih kosong, masih sunyi tiada bunyi, masih diam tidak berpaksi, tiada fokus untuk Rama sejak seminggu dua yang lalu. Prestasi kerjanya masih diimbang agar tidak menjunam. Dalam pada Rama berdiam, seorang rakan sekerja memerhati tingkahlaku Rama.
"Hei Rama! Apa pasal lu diam je ha?"
"Gua okay je la Suzy"
"Kalau okay takkan la murung je macam ni? You ada problem ke?"
"Takde apa la, I'm okay! Thanks"
Rama mengangkat kaki meninggalkan Suzy terpinga dan tertanya-tanya. Dalam benak Rama sudah cukup kusut untuk dia tambah dengan melayan sesuatu yang tak punya hasil hujungnya. Suzy selaku amoi yang berkhidmat di bahagian HR sudah faham dengan Rama dan lali dengan perangainya yang suka menyendiri, tapi ini juga kali pertama dia melihat Rama sebegini rupa. Kusut, murung.
Hampir seminggu Rama sebegini, bagai tiada roh dalam jasad bergerak itu. Sedikit demi sedikit perubahan semakin ketara.
Jam 10.15 malam, Rama berjalan keluar dari pintu belakang. Suasana agak riuh di seberang jalan dek deretan kedai makan. Rama terus berjalan untuk pulang. Fikirannya dibiar mengawang seperti biasa. Kakinya melangkah lesu, kepenatan mungkin. Geseran kasut dengan tar yang dipijak menghauskan tapak langkah demi langkah. Setibanya di perkarangan rumah, Rama melihat sebiji kereta bukan buatan tempatan diparkir berhampiran tiang rumahnya. Rama arif tentang empunya pacuan itu. Aqira. Kalau dulunya dia melihat kenderaan ini, bibirnya terukir senyum tanpa paksa. Hari ini, senyum itu tidak terbit, malah nafasnya pula rasa terseksa. Cebisan tenaga setelah seharian bekerja dikerah mengubat luka di hati yang kian robek tatkala kaki kanan melangkah masuk kerumah. Suara yang dulu menjadi dendangan lunak merdu, kini menjadi bilahan pisau yang tajam menusuk jantung. Rama masih diam, dia menoleh ke arah Puan Zue. Masih tiada senyum yang mampu dilempar.
"Ha, Rama! We've been waiting for you too long la. Lu pegi mana?"
"Hai Rama! Lama tak nampak..." sambung Aqira, persoalan Puan Zue masih tergantung.
"Aku penat, mintak diri dulu..." Rama sambung melangkah menuju ke dalam rumah.
"Rama! Nanti dulu... ada benda aku nak bincang dengan kau" pergelangan tangan Rama digenggam.
Suasana bertukar sunyi, terlihat mata Rama membundar, badannya terketar kecil. Sebaliknya pula pada Aqira yang masih teguh, matanya nampak sayu menenung mata Rama. Garis-garis kecil dan bengkak bawah mata tersergam nyata di muka Rama. Rama masih menunduk. Gadis tadi melepaskan pergelangan tangan Rama setelah dirasanya begitu lama. Rama masih kaku.
"Rama, aku mintak maaf" pandangan yang sayu tadi juga tunduk menjenguk lantai.
"...Aku mintak maaf sebab tak berlaku jujur. Aku tahu aku salah" pipi yang lembut kini membasah.
Lelehan demi lelehan dibiar menjurai. Terlihat tompok basah pada bahagian tudung yang dipakai. Rama menoleh.
"Lap lah air mata kau. Aku tak pernah anggap kau salah. Aku anggap ini semua takdir"
"Tapi tak sepatutnya aku buat kau camni..."
Puan Zue yang sejak tadi diam, melangkah masuk ke dapur. Sebelum itu dia sempat menepuk lembut bahu Aqira. Rama masih berdiam. Menanti tutur bicara yang akan dilempar keluar oleh Aqira. Suasana masih sunyi di malam itu. Aqira kembali duduk. Rama bergerak ke kerusi berhadapan Aqira. Dia merebahkan punggungnya perlahan. Matanya dialih keluar, nafasnya ditarik dalam-dalam.
"Kenapa kau ke mari?" soal Rama.
"Aku cuma nak pastikan kau tak buat benda bodoh"
"Bukan aku yang buat benda bodoh dan bukan aku yang perbodohkan orang yang aku ucap sayang"
Aqira kembali senyap. Dia tahu, tiap bibit kata yang dia lempar akan dipalit ke jiwa sendiri. Dia mula menyusun kata dalam kepala. Jari jemari di main bertindih dan berulang. Sedikit sebanyak mengurang gelisah.
"Ada elok kau balik je. Takut lelaki kau marah pulak nanti" telunjuk Rama menuding ke arah pintu.
"Laki aku yang suruh aku kemari... ini semua solusi dari dia" mata Aqira menatap wajah dihadapannya.
Rama hanya mendengus.
"Dengar ni, aku ke mari mahu jernihkan keadaan, tak perlulah kita panjangkan benda yang dah lalu. Lagipun aku dah minta maaf"
"Kalau semudah itu kau meminta, semudah itu juga aku maafkan..."
Aqira tersenyum kecil.
"...moga semudah itu juga kau beransur ke dakapan lelaki yang lagi kau cinta, sini bukan tempat kau dan kau tidak perlu bersusah payah ke mari lagi. Sini rumah cina yang punya anak india. Kau bangsa melayu, bangsa beradab, jagalah adab. Kalau orang tak suka kau bertandang, ada elok kau jangan datang"
Rama bangun dari duduknya, melangkah masuk. Tiada lagi suara, hanya tangisan. Aqira juga bangun, hati perempuannya terlalu lembut bak tisu. Sesungguhnya tisu yang basah itu mudah terkoyak. Dengan tisu basah yang memberat dan terkoyak, Aqira melangkah perlahan keluar dari rumah Puan Zue.
...
Malam itu Rama masih dibirai katil dengan mata yang masih berjaga. Tiada tanda-tanda matanya mahu lelap. Fikiran yang menerawang sesekali mengimbas bibit memori yang cuba dihapus dalam benak kepala...
"Rama, you pergi tengok adik tu. Dia mahu apa..."
"Alah, biarlah. Aku sibuk ni.."
"Tolong la, kan Nadia dengan Yasmin tak dapat datang, pastu takde sapa mahu fill dorang punya kerja"
"Alamak Suzy, tapi ni bukan bidang gua!"
"Alah, you just tanya je dia nak apa. You kan tahu semua aisle kat sini"
"Hm yelah yelah, kejap la bagi aku susun kotak telur ni"
"Oi, pergi sekarang la. Kalau kejap lagi orang tu dah balik"
"Ye, aku pegi la ni!" Dalam keterpaksaan Rama melangkah.
Dari jauh rama melihat, sekujur tubuh yang cantik. Timbul perasaan dihatinya. Bukan berahi. Tapi terasa sesuatu yang sukar digambarkan dengan perkataan. Entah kenapa dia sendiri tidak pasti. Gadis genit itu memeluk tubuh. Raut mukanya tampak risau. Pandangannya di alih ke sana ke mari seperti mencari-cari sesuatu. Dengan perlahan Rama mendekati si gadis itu.
"Cik, carik apa?"
"Oh, hai! Em, saya carik cendawan shitake. Ada jual tak kat sini?"
"Ada! Kat aisle nombor 11, makanan kering. Cendawan tu kat sebelah hujung kiri"
"Okay thanks encik..."
muka bingung sebentar tadi kembali melewati rupa manis si gadis menerbit tanda tanya
"Rama"
"Thanks Encik Rama!"
Wanita genit itu meluru pergi, senyuman paling manis dilempar sebelum dia menoleh ke depan. Rama hanya menggeleng. Dia juga tersenyum kecil. Hatinya terhibur dek gelagat pelanggan yang seorang itu. Dia kembali ke stor untuk menyusun minuman ringan dan beras yang baru sampai awal pagi tadi. Harinya ceria. Rama mencari kelibat Suzy, namun tiada. "Mungkin dah balik office kot amoi kepoh tadi" getus hati Rama. Suasana masih hingar dengan deruman forklift.
Rama kembali sadar dari lamunan. Tingkap yang terbuka sejak tadi ditutup. Tempat pembaringan dijamah dari birai. Letih, letih menahan lelah, letih dengan drama hidupnya, letih dengan memori yang tak berbuah. Dan dalam keletihan itu Rama gagahkan kakinya bangkit berdiri, pintu bilik dikuak perlahan, Puan Zue masih menjahit di awal pagi tersebut. Entah kain apa yang ditempah oleh pelanggan dia sehingga ke lewat malam begitu pun dia masih menjahit, Rama sendiri tidak tahu. Rama menyelinap keluar, ditingalkan perkarangan rumah dalam samar cahaya bulan. Kakinya melangkah tanpa hala, tanpa tuju. Diikutkan angin malam. Terasa longlai. Menantikan akal menyusun aksara menjadi jawapan. Masa berlalu pantas.
Hari berikutnya berlalu seperti biasa, tiada drone kecil melintas melalui saraf tunjang membawa jawapan untuk akal mencerna kemurungan dan kelesuan dalam badan. Rama hanya memerhati sekumpulan anjing liar dihadapan rumah meratah sisa sampah berlonggok hasil penghuni flat Sri Menanti. Pekik telolong Pak Mail menjual nasik lemak tenggelam dalam deruman enjin yang lalu lalang. Rama bangkit dari duduknya, dia berjalan ke arah Pak Mail. Mindanya ingin sedikit hiburan, mungkin Pak Mail mampu membantu. Dari seberang jalan Pak Mail sudah melambai tangannya ke arah Rama, disertakan juga senyuman yang tersembunyi dibalik bulu-bulu misainya yang lebat itu. Rama hanya senyum kecil membalas.
"Morning Pak Mail!"
"Ha Rama! Morning... amacam? Kau okay ke?"
"Tak okay sangat la Pak Mail.. gua ada problem sikit la"
"Problem apa ni Rama? Meh citer"
"Takda apa la Pak Mail, pasal hati dan jiwa je. Biasalah orang muda"
"Eh kau ni, bab tu la kau kena citer. Pak Mail dah lama hidup, banyak pengalaman bab hati dan jiwa ni"
Rama hanya mengekek, kemudian dia kembali diam. Berkerut muka Pak Mail melihat respon Rama. Kemudian dia kembali memekik untuk menarik perhatian manusia yang lalu lalang disitu, menghormati keputusan Rama untuk memendam masalah yang baginya terlalu personal untuk dikongsi. Rama turut membantu menarik perhatian. Dalam pada mereka berdua sibuk melayan pelanggan yang mengunjung, fikiran Rama mengawang mengulang pita memori yang tersemat kemas dalam timbunan memori yang lain.
"Terima kasih Suzy, lu turunkan gua kat tepi jalan ni je. Nanti lu susah nak pusing pulak"
"Okay, no problem la Rama. You pun dah banyak tolong I. Sekali sekala I tolong you pulak macam ni I think no biggie la"
"Hahaha. Gua tolong pun memang pasal gua sama kerja dengan lu. No need rasa berhutang budi dengan gua"
"Yelah! Take care Rama! Good night!"
"Orait, you too. Night Suzy!"
Rama melangkah keluar dari mobil pacuan empat roda milik Suzy, kemudian dia hanya melambai kelibat kenderaan itu hingga hilang dari pandangan. Dia berpusing untuk terus berjalan balik ke rumah Puan Zue. Rama sebenarnya baru pulang makan bersama rakan sekerja di bandar, kalau tiada Suzy menghantarnya kemari, mungkin dia masih dalam perjalanan berjalan kaki. Paling kurang pun mungkin dia terpaksa mengorbankan beberapa helai not merah dan hijau untuk menyewa teksi ke kawasan perumahan flat ini. Gerai Pak Mail terlihat kosong, menjadi norma bagi Rama melihat gerai itu kosong diwaktu-waktu lewat begini. Tapi yang menjadi luar daripada kebiasaannya pada malam itu ialah sebuah kenderaan yang tersadai di bahu jalan bersebelahan dengan gerai Pak Mail. Rama hanya meninjau dari jauh. Melihatkan kenderaan itu tidak bergerak buat beberapa ketika dalam kiraan lima belas langkah, Rama akhirnya tergerak hati untuk melihat lebih dekat. Kepalanya ditoleh kiri dan kanan, tiada tanda-tanda kenderaan melintas. Rama menyeberang dengan deras. Dalam pada dia mendekati kenderaan itu, dia terlihat satu kelibat di balik kereta yang tersadai tersebut. Rama melangkah perlahan, tiap setapak kakinya mendekati kenderaan itu diatur demi mengelak kebarangkalian sesuatu yang tidak dikehendaki berlaku. Lembaga yang diperhati sejak tadi berpaling sepantas kilat tanpa memberi isyarat terlebih dahulu. Rama yang terkejut hampir menjerit ketakutan. Setelah di amati kelibat itu hanyalah seorang gadis bertudung yang diselubung kegelapan malam. Melihatkan Rama dihadapan mata, gadis tersebut hanya terkemam tanpa bunyi dan matanya terbuntang membulat seperti nampak hantu, mulutnya seperti tersekat dari mengeluarkan bunyi.
"Cik?!"
"Astaghafirullah..." mata yang membundar tadi mula bergenang.
"Cik sorang je ke?"
"Jangan kacau saya!" kemudian mulut gadis tersebut terkumat-kamit. Mata kirinya mengalirkan air jernih.
"Cik... jangan salah faham! Sorry!" perasaan serba salah mula menyelubungi tubuh Rama.
"Pergi!" jeritan gadis tersebut menyentak, Rama terkejut sekali lagi.
"Cik, ni saya tinggalkan telefon bimbit. Boleh call bantuan. Saya pergi dulu"
Melihatkan si gadis itu mengenggam sebiji telefon pintar yang tidak menyala, Rama menghulur telefon bimbitnya. Tiada tanda si gadis berniat untuk menyambut. Rama meninggalkan telefon bimbitnya di atas kenderaan gadis tersebut. Rama kemudiannya menyusun langkah berundur setapak demi setapak. Setelah beberapa tapak, Rama berpusing dan meneruskan perjalanannya. Hening malam membelah sadar dan fikiran Rama. Kesian pula dia pada si gadis yang ditimpa masalah sedemikian tadi.
"Encik! Nanti!"
Rama terus menghentikan langkah dan berpaling ke arah suara. Terlihat gadis tadi berjalan laju ke arahnya. Rama masih tenang berdiri. Menanti.
"Encik, saya dah call abang saya! Tadi saya call workshop, tapi tak berajawab. Kereta saya rosak..."
Telefon bimbit dihulur.
"Nah!"
Rama menyambut. Senyum.
"Terima kasih! Tapi boleh tak awak tolong saya?"
"Tolong apa?"
"Teman saya sampai abang saya datang ambil saya kat sini?"
"Cik tak takut ke dengan saya?"
"Hm.. daripada berseorangan, lagi saya takut. Please!"
"Okay. No problem. Cik jalan la dulu, saya follow dari belakang"
Mereka berjalan semula kembali ke kenderaan yang sudah tersadai lebih dua jam tersebut. Rama hanya berdiam. Begitu juga si gadis tersebut. Suasana hanya dihuni dengan bunyi unggas dan serangga malam. Kawasan flat pada malam itu seperti biasa dipenuhi dengan manusia yang rajin menjelajah ilmu perubatan tanpa pengawasan dan tunjuk ajar dari pihak berwajib. Bau yang tidak menyenangkan menyelinap tatkala sesiapa meredah kawasan flat tersebut, dari bau kepulan asap rokok hingga bau-bauan bahan kimia yang dah diproses, apatah lagi bau longgokkan sampah dek manusia yang tidak bertanggungjawab. Setelah sepuluh minit berdiam, Rama memecah kesunyian,
"Cik, cik duduk dalam kereta la. Tak elok gadis berembun macam ni"
"Eh, takpela. Biar saya teman awak sekali. Takkan nak biar awak duduk sorang kat luar"
"Takpe, saya dah biasa. Takut cik sakit pulak nanti. Lagi selamat kot-kot jadi apa-apa"
"Err.."
"Cik duduk je dalam kereta. Saya okay. Cik boleh rehat sekali"
"Okay lah"
Gadis tadi akur. Rama berjaga diluar kereta. Aroma wangian kereta merebak tatkala si gadis membuka pintu keretanya.
Hampir setengah jam bersandar pada kereta, sepasang lampu kenderaan mendekati Rama.
"Rama, popia tiga ringgit"
Rama kaget. Dia pelik apabila abang si gadis itu secara spontan meminta kuih-muih.
"Oi Rama! Kau tidur ke?"
Rama bertambah pelik mendengar suara si abang serupa suara Pak Mail.
"Woi! Orang nak popia tu!"
Dunia bergegar serta-merta, semakin lama mindanya kembali sedar. Rama menggamit bibit-bibit suasana.
"Bangun woi! Tidur ke? Orang nak popia la!"
Muka Pak Mail terpampang luas didepan mata. Rama menjerit lalu terjelepuk ke tanah. Melihat aksi itu, Pak Mail hanya menggeleng tersenyum. Popia dibungkus dan diserah pada pelanggan sebelum Pak Mail kembali mendapatkan Rama. Ternyata masalah yang dihadapi Rama kian serius. Pak Mail mennyua segelas air masak setalah Rama kembali pulih sepenuhnya dari rakaman pita memorinya. Rama meneguk perlahan.
"Kes kau dah teruk la cam ni macha!"
Rama masih terkebil-kebil.
"Ada elok kau settle kau punya masalah secepat mungkin, kalau tak melarat ni nanti"
Pak Mail menepuk perlahan bahu Rama dan kembali pada tugasnya, memekik memanggil pelanggan. Rama membasahkan telapak tangan dengan lebihan air dalam gelas dan menyapu basahan tersebut dikeseluruhan mukanya. Mindanya kembali sadar. Keluhan kecil dihembus. Pak Mail tersenyum. Rama hanya membalas dengan senyum pahit.
"Sorry Pak Mail"
"Takpelah, aku faham"
"Pak Mail, aku balik dulu lah"
Rama mengangkat kaki, langkahnya perlahan. Destinasinya kali ini ingin terus ke rumah Puan Zue. Tiada tanda dia ingin menyimpang kemana-mana. Cukup longlai langkahnya. Matanya semakin kuyu. Berat. Dengan pandangan yang semakin berbalam-balam dia merasakan kepalanya bertambah berat. Kudratnya tidak mampu lagi menampung jasad. Rama rebah mencium bumi. Tiada rasa sakit dihantar oleh darah mengikuti saraf ke otak. Cuma pandangan yang menghitam berbalam-balam. Jantungnya berdenyut perlahan. Saat dirasa berlalu perlahan.
Kosong. Masih kosong.
Rama dikejarkan ke hospital selepas 10 minit berbaring menghadap putihan awan. Tiada suara yang didengar sepanjang kejadian. Hanya bunyi denyutan jantungnya yang berdegup lemah. Masih dalam pembaringan Rama dirawat di hospital swasta. Atas tanggungan seseorang yang Rama sudah tidak mahu bersua muka. Aqira. Matanya bergenang. Pandanganya kabur dek air yang bertakung dikelopak matanya.
"Rama"
"..."
"Awak rehat ya!"
Masih tiada jawapan yang mampu disuara dari celah bibir yang kekeringan. Wajahnya masih pucat. Pandangan yang semakin jelas menambah beban sesak di dada. Hati yang meronta mahu bangkit dari pembaringan dihalang tubuh yang tiada berdaya. Aqira yang hanya memerhati faham dengan gerak geri telunjuk dan kerutan dahi. Lantas tubuh dibawa pergi, meringankan beban Rama dihati. Air jernih masih mengalir di pipi.
"Sampai bila?" Bisik hati. Aliran air dipipi disekat dari terus membasahi kulit yang menyejuk dalam pendingin hawa di malam hari.
Seperti video yang di ulang tayang, kejadian seperti ini berlaku acap kali, hingga hati yang tersinggung dahulu kini lali. Tiga purnama berlalu. Tiada sangsi tentang isi hati si lelaki masih degil menerima hadirnya Aqira di sisi. Betulnya fakta bahawa si bidadari bukan milik abadi, dari situ hati menidakkan segala kata dan segala laku yang diberi. Memang hati sudah lama mati. Aqira masih teguh dengan pendirian yang digenggam erat dalam diri. Sama macam Rama, cuma berbeda perspektifnya.
"You dah boleh discharge petang ni..."
"I nak balik" pandangan ditoleh ke raut wajah melesu "please!"
"Okay..." hati yang berat dibiar tergantung, diikut isi hati yang degil itu.
"You tak payah susah-susah dah lepas ni. Petang ni pun I balik sendiri"
"Okay..."
Aqira senyum, tiada lagi air mata. Dia tahu hati Rama kini utuh. Dia tahu hati itu sudah tidah berpaut pada yang salah.
"Terima kasih" ucap Rama.
Rama mengangkat secebis kain yang telah dicarik. Dibuat kain itu seperti gelang, kemudian dimasukkan tangan dalam gelang kain tadi. Ditarik tinggi hingga lengan. Hujung kain direntap kemas, tangan mula menimbulkan urat-urat hijau kebiruan. Radio usang mengulang pita rakaman yang disemat dalam ruang tersedia.
"Sebuah kompleks membeli belah dilaporkan terbakar siang tadi pada jam 3 petang. Pegawai penyiasat disini menyatakan punca kebakaran adalah dari kerosin yang dinyalakan dikawasan stor kompleks tersebut oleh seorang lelaki berbangsa india, dia ditahan kerana dipercayai merupakan suspek utama yang mengakibatkan kebakaran tersebut. Dalam insiden ini juga pihak berkuasa melaporkan bahawa 13 maut ditempat kejadian, dimana 8 daripada mangsa yang terkorban merupakan staff dikompleks tersebut, manakala 5 lagi mayat yang ditemui adalah pelanggan yang kebetulan sedang membeli belah, akan tetapi nasib tidak baik menyebelahi mereka dan turut sama terbabit dalam kejadian tersebut. Sepasang suami isteri, mangsa kebakaran tersebut, yang dipercayai sedang melengkapi persiapan untuk menjemput kedatangan anak sulung mereka juga menjadi tumpuan dalam kes ini. Motif pembakaran masih dalam siasatan polis...."
Suara dari speaker radio usang tadi tenggelam selepas satu suntikan meresap masuk ketubuh lelaki india tersebut. Kepalanya mengawang. Terlihat kepulan asap mula menerjah ke segenap bilik. Bau debu kebakaran menyengat. Halusinasi. Membuatkan Rama terbatuk-batuk. Rama senyum.
"Sampai bila kau nak macam ni Rama?" bisik Suzy.
"Kenapa kau tak mati sekali ha cina?"
"Sebab kau yang suruh aku belikan teh ais haritu. Kau lupa?"
Suzy menundukkan kepala. "Kau yang selamatkan aku" bisiknya kecil
"Hahahaha.. bhak.. hurk" tersedak-sedak Rama yang mengilai dalam imaginasinya
"Baliklah. Rumah kau pun dah lama kosong. Puan Zue nak kau pulang"
"Ini rumah aku. Rumah Puan Zue bukan rumah aku!" Rama separa menengking
Suzy menggeleng. Sampai bila kau nak macam ni? Sampai bila kau nak berhenti mengharapkan sesuatu yang tak pasti? Benak Suzy masih memutar beribu tanda tanya.
"Pulanglah Rama"
Rama lah punca dia hilang sumber pendapatan, Rama jugalah yang masih disisi dia. Hati Suzy masih untuk Rama. Sebab itulah dia tidak kisah mencari kerja lain dan menjaga Rama yang tidak mahu meninggalkan tapak kompleks membeli belah yang sudah lama hangus terbakar tersebut. Rama juga lah lelaki pertama yang melayan dia seperti orang atasan, seperti mana seorang wanita itu patut diberi layanan, yang sentiasa sanggup mengusap tubuhnya tatkala tubuhnya ingin melampias nafsu. Maklumlah, tiada lagi lelaki lain yang sanggup melayan dan menerima bekas seorang pelacur tidak berbayar kepada bapa tiri & abang kandungnya sendiri. Masa silam yang gelap itu punca Suzy tidak percaya mana-mana lelaki. Rahsia gelap itu dibiar tenggelam dalam hati, tiada satu nyawa pun yang dia kongsi kisah silamnya kecuali Rama. Lelaki yang Ramah. Lelaki yang penuh mesra walau hati lelaki itu tidak pernah terbit cinta. Hati yang tak pernah mengharap apa-apa. Cukup sekadar dengan sisipan kata yang membina. Itu anggapan Suzy. Walhal hati Rama hanya untuk arwah wanita melayu yang ditunggu kunjungnya. Aqira, cinta pertama Rama. Sukar dihadam buat manusia biasa. Suzy jugalah dalang disebalik mulanya bicara cinta dan putiknya hasad dalam diri Rama. Betapa peliknya sebuah cinta yang mampu membutakan mata hati. Betapa gelapnya hati yang diselubungi perasaan iri dan benci. Api bukanlah punca hangusnya seseorang dalam dunianya Dadah bukanlah pangkal hilangnya akal mencari kehendak dan kemahuan semata. Tetapi benci. Benci yang tiada tandingannya. Benci pada diri sendiri. Benci yang menguasai diri. Benci yang bercambah bak cendawan lepas hujan. Antara jurang peramah dan pembenci, sesuap kata sudah mencukupi.
Epilog;
"Rama. Terima kasih"
"Sama-sama"
Suzy melangkah dengan hati yang berat. Ditoleh buat kali terakhir sebelum dia benar-benar meninggalkan kekasih yang dia puja. Muka bertukar benci. Air mata mula membasahi pipi. Tiada tanda-tanda perjalanan akan diteruskan, kakinya menggigil. Lututnya mula rebah setelah beberapa ketika. Masih terlihat kelibat mayat mengembung dihurung lalat, dijamah ulat. Lelaki yang diharap mengubah masa depannya kini hanya seketul daging busuk. Akibat dadah yang diambil berlebihan, Rama pergi ditempat kejadian. Setelah 9 bulan Suzy sarat mengusung keturunan dia dan Rama, kini dia terpaksa bersendirian menempuh masa hadapan. Kehidupan harus diteruskan. Suzy gagahkan kaki melangkah. Dilihatnya langit cerah. Air mata dikesat. Pacuan empat roda dihidupkan enjinnya. Pak Mail yang sejak tadi berdiri bersebelahan kenderaan tersebut menyusun kata.
"Kau nak kemana lepasni?"
"Saya ingat saya nak balik Johor"
"Eloklah kalau macamtu. Banyak sangat benda dah jadi kat sini"
Suzy hanya tersenyum kelat.
"Jaga diri! Jaga anak kau tu jugak"
"Baiklah Pak Mail. Terima kasih panggilkan polis dan uruskan mayat Rama. Saya gerak dulu"
Berlalunya kenderaan Suzy, diganti tiba dengan dua kereta peronda dan sebuah lori angkatan polis diraja Malaysia. Pak Mail menegakkan jari telunjuk pada mayat Rama. Tiada siapa sangka pengakhirannya begini.
No comments:
Post a Comment