20140105

Rasa

Assalamualaikum
&
Greetings...







Jalan raya malam tu agak lenggang, dengan berbaju-T dan berseluar jeans tubuh aku sedikit menggigil kesejukkan. Kelam. Hanya deruan motor yang ditunggang berbunyi memecah keheningan malam, sesekali aku menjeling ke balik-balik pokok di tepi jalan, lantas ia membuat bulu roma aku meremang. Masa berlalu pantas, aku berhenti di stesen minyak. Sedang aku mengisi minyak aku perhati kawasan sekeliling. Senyap. Kemudian aku sambung menunggang dikala malam bulan mengambang. Bila dah berada di kawasan pekan, perasaan takut, risau dan gusar tadi hilang.

Sesampai sahaja aku di hadapan rumah, aku matikan enjin, pintu pagar yang bermangga aku buka. Kemudian aku sorong motor aku masuk ke perkarangan rumah. Setelah semua pintu pagar berkunci, aku terus masuk ke bilik dan di atas lantai tubuh ini direbahkan dengan perlahan. Dah terbiasa di atas lantai, jarang sangat aku berbaring dengan selesa. Sambil mencapai bantal yang terjuntai di atas katil aku hidupkan kipas angin disebelah kepala. Aku pejamkan mata, benak fikiran aku berputar, dari aku atas motor lagi aku dah bercelaru dengan pelbagai persoalan. Diam. Sesekali kedengaran bunyi motor ditunggang laju dari arah luar. Aku lihat jam di dalam smart-phone disebelah kiri aku, minit 30 jam 12 tengah malam.

Lin.

Dalam gelap aku bertanya pada diri sendiri, kenapa aku sukakan dia? Apa yang buatkan aku suka pada dia? Itu ini, bertubi-tubi minda aku menujah soalan tiada henti. Sentak. Aku buka mata, mata aku berkeliar tanpa fokus utama kerna tiada cahaya yang diterima oleh retina mata. Mengeluh. Aku tak mahu mabuk cinta, aku tak mahu bercinta buat seketika dan aku tak layak untuk seseorang seperti dia. Aku mengenggam erat buku lima kiri kemudian aku lepaskan amarah pada dinding serta-merta, disebabkan malam itu sunyi maka dentuman yang terbina bergema beberapa ketika. Tangan kiri aku mula berdenyut, darah merah mula mengalir laju dalam arteri-arteri menghantar data pada otak. Ternyata, sakitnya tangan aku ini tak mampu menandingi sakitnya hati aku malam itu. Aku pejamkan mata semula.

Sial. Hati aku berbisik. Malangnya otak aku masih belum mahu berehat, walhal mata dan tubuh aku dah letih. Aku ke dapur. Secawan minuman panas aku siapkan, kemudian aku hirup perlahan-lahan sambil bersandar ke dinding. Benak aku yang tadinya pusing kini kosong. Aku buka jendela, terlihat cahaya mentari dipantul bulan ke bumi, membuat penglihatan agak samar. Tanpa sadar, minuman panas tadi dah pun habis. Aku letak cawan tadi atas sinki kemudian aku tutup semula jendela tadi. Perlahan aku melangkah masuk ke kamar. Aku perhatikan jam di dinding, minit 45 jam 3 pagi. Masa memang berlalu dengan pantas. Aku kembali ke pembaringan, tidakku endahkan otak yang masih mahu berjaga, kedua mata aku pejam. Rapat. Selamat malam dunia, moga esok kau masih kejam seperti biasa.

Senyap.

Tiada rasa.

Kosong.




No comments:

Post a Comment